1MDB tidak melibatkan wang pembayar cukai-Najib

0 3

1MDB tidak melibatkan wang pembayar cukai-Najib

 

Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak melibatkan wang pembayar cukai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini, sambil menekankan yang ia sebuah entiti perniagaan yang hanya meminjam wang dari pihak ketiga. “Ini bukan duit rakyat,” katanya merasmikan mesyuarat agung tahunan Umno bahagian Seremban di Paroi, Negeri Sembilan. Najib, yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB berkata, masalah dihadapi firma pelaburan negera itu adalah disebabkan persepsi negatif orang ramai yang menghalang ia dari disenarai awam.

“Kalau anda hendak jadikan sebuah syarikat tersenarai awam, persepsinya mesti positif.
“Oleh kerana kita tidak boleh menyenarai awam, ia menyebabkan wujudnya ketidaksepadanan yang menyebabkan masalah aliran tunai,” katanya sambil menambah yang masalah syarikat itu tidak “seburuk” tanggapan orang ramai. 1MDB dimiliki Kementerian Kewangan, ditubuhkan pada tahun 2009 sebagai idea Najib bagi merangsang pertumbuhan ekonomi melalui perkongsian global dan pelaburan asing.

Firma itu berkata, ia tidak pernah menerima dana awam selain RM1 juta yang diperuntukkan pada masa penubuhannya. Firma itu ketika ini berada di bawah penelitian berhubung hutang RM42 bilion yang ditanggungnya dalam masa enam tahun operasi, dan syarikat berkaitan dengannya dikatakan terbabit dalam skandal menyalurkan wang AS$700 juta (RM2.67 bilion) ke dalam akaun bank peribadi Najib. Najib juga mendedahkan yang kerajaan sudah merumuskan rancangan untuk “pemulihan” 1MDB.

“Ada rancangan, tetapi kita tidak boleh lakukannya dalam masa satu hari. Rancangan kita ialah untuk dilaksanakan dalam tempoh enam bulan,” katanya. Beliau mendedahkan yang pemimpin dari Qatar dan China sudah menyatakan minat melabur di syarikat tenaga 1MDB, Edra Global, dan juga projek perdananya, Bandar Malaysia. “Duta China dan Emir Qatar kedua-dua menyatakan minat mereka. Apakah maksudnya ini? Maksudnya, ada nilai di situ. Ada asetnya. Wang itu tidak hilang,” katanya. “Bukan mereka sahaja, terdapat beberapa negara lain juga yang berminat,” katanya.

Komen anda?

Komen

Leave A Reply

Your email address will not be published.