Dakwaan palsu adalah merupakan sebahagian daripada kempen politik untuk menjatuhkan saya-Datuk Seri Najib Tun Razak

0 1

Dakwaan palsu adalah merupakan sebahagian daripada kempen politik untuk menjatuhkan saya-Datuk Seri Najib Tun Razak

Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi bahawa dakwaan palsu terhadapnya merupakan sebahagian daripada kempen politik bersepadu untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.  Najib menegaskan beliau tidak pernah mengambil dana syarikat berkaitan kerajaan atau mana-mana entiti untuk kepentingan peribadi.

“Saya ingin menyatakan secara jelas: Saya tidak pernah ambil dana untuk kepentingan peribadi seperti didakwa oleh musuh-musuh politik saya – sama ada daripada 1MDB, SRC International atau entiti lain, seperti disahkan sendiri oleh syarikat-syarikat ini,” katanya dalam kenyataan di sini, lewat Jumaat malam.

Beliau berkata sejak beberapa bulan kebelakangan ini, wujud pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau dan keluarganya – kesemuanya tidak berasas dan hanya keterlaluan.  Beliau percaya (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) bersekongkol dengan warga asing termasuk serangan politik oleh blog Sarawak Report di sebalik pembohongan terbaru ini.

Najib berkata serangan bermula apabila beliau enggan melaksanakan permintaan peribadi Dr Mahathir, dengan mempercayai bahawa ia bukan tepat untuk Malaysia ditadbir oleh proksi.  Katanya Dr Mahathir kemudian mencipta krisis apabila secara melulu mendakwa RM42 bilion telah hilang daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sedangkan jumlah itu telah diaudit sebagai hutang serta disokong dengan aset audit berjumlah RM51 bilion.  Najib seterusnya berkata pada mana-mana keadaan pun mereka yang membuat tuduhan-tuduhan ini memberikan sebarang bukti.

“Apa yang kita dengar bahawa tuduhan-tuduhan ini berdasarkan dokumen yang dibocorkan dan penyiasat yang tidak dinamakan. Bukan sekali sumber dokumen-dokumen ini pernah didedahkan, atau dokumen-dokumen berkenaan telah disediakan untuk pengesahan oleh pihak berkuasa yang sah,” katanya.

Buat masa ini, adalah diketahui bahawa beberapa dokumen yang menyatakan dakwaan-dakwaan terbaru ini berdasarkan dokumen-dokumen yang dilaporkan dipalsukan.  Perdana Menteri berkata orang yang membocorkan dokumen-dokumen tersebut sedang disiasat oleh pihak berkuasa luar negara kerana cubaan memeras ugut bekas majikannya.

“Ini banyak mengatakan tentang kebolehpercayaan dokumen-dokumen berkenaan dan mereka yang menggunakannya untuk merosakkan kerajaan kita dan negara kita,” kata Najib.

Beliau berkata mereka yang terus melancarkan serangan ini perlu bersedia menghadapi akibat daripada tindakan mereka.  Ini taktik longkang – dalam beberapa kes taktik jenayah – untuk menggulingkan kerajaan akan gagal. Di mana sesuai, mereka akan ditangani dengan kuasa penuh undang-undang,” katanya.  Katanya adalah memalukan bahawa serangan palsu ini didorong oleh kepentingan peribadi ketika waktu Malaysia memiliki peluang unik mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini dan menjelang negara mencapai status negara maju.

“Saya tetap memberikan sepenuhnya perhatian terhadap kerja-kerja pembangunan negara demi untuk rakyat,” katanya, lapor Bernama.

Komen anda?

Komen

You might also like More from author

Leave A Reply

Your email address will not be published.