Jangan cepat mengeluh dengan anak

0 7

mengeluh

Memang aku yang kandungkan anak ini selama 9 bulan. Lama. Memang aku juga yang melahirkan dia 6 bulan yang lalu. Sakit.  Tetapi anak aku bukan milik aku, dia adalah amanah dariNya. Dia milik Allah dan bila-bila masa sahaja Allah boleh ambil dia semula.  Jadi mengapa aku mengeluh untuk melayan dia tak tidur malam dan mahu bermain sedangkan aku selamba melayan kawan-kawan di kedai mamak sampai ke pagi? Jangan aku lupa, anak ini milik Allah. Bila-bila masa saja Dia boleh ambil semula.

Mengapa pula aku mengeluh kesal bajunya perlu dibeli lagi sedangkan baru saja dibeli bulan yang lalu? Sedangkan ramai lagi ibu bapa teringin membeli saiz lebih besar lagi. Apakan daya anak mereka lambat membesar pula. Jadi mengapa aku tak bersyukur dan gembira anak aku mengembang sihat? Mengapa aku mengeluh? Lupakah aku bahawa anak ini milik Allah dan bila-bila masa saja dia boleh ambil balik.  Aku mengeluh lemah lagi tidak mampu menyimpan wang di bank. Setiap bulan, ada saja kehendak dan keperluan anak ini.

“Matilah aku kalau macam ni ya Allah!”

Sedarkah aku bahawa ramai lagi yang berhabis berpuluh ribu namun masih tidak diberikan Allah rezeki yang dipanggil anak? Lupakah aku Allah itu pemberi rezeki? Dia pemilik kesemua di langit dan di bumi termasuklah anak ini. Ingatlah, bila-bila masa dia boleh ambil kembali anak ini.  Aku terus mengeluh. Tengah khusyuk bersembang di Facebook, si anak merengek-rengek meminta diangkat, diagah-agah pula.

“Ah! Mana boleh!  Nanti manja budak ni. Nah! Ambil ini dan mainlah sendiri!”

Allah, mengapa aku mengabaikan pinjaman Allah ini?  Entah berapa ramai yang menangis dan merayu dalam sujudnya di malam hari memohon dikurniakan anak sebagai penyeri hidup.  Tetapi Allah tak bagi. Allah berikan pada aku tetapi mengapa aku mengeluh?  Ini kan milik Allah dan bila-bila masa Allah boleh mengambilnya kembali.

Ya Allah, telah kau berikan aku anak sebaik, sesihat dan secantik ini. Tetapi masih juga aku banyak bunyi. Ampunkan aku ya Allah. Kau panjangkanlah jodoh dengan dia hingga syurgaMu. Sesungguhnya aku sering terlupa anak ini bukan milik aku tetapi dia milikMu. Bila-bila masa kau boleh ambil kembali.

Posting di ambil dari facebook Marina dan ditulis semula untuk artikel di HIBURAN.MY

Komen anda?

Komen

Leave A Reply

Your email address will not be published.