Laporan WSJ mengenai 1MDB bukan berdasarkan jabatan audit

0 3

 

Laporan WSJ mengenai 1MDB bukan berdasarkan jabatan audit

Jabatan Audit Negara berkata laporan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai 1MDB baru-baru ini bukan berdasarkan kepada laporan interim audit jabatan itu ke atas syarikat berkenaan.  Timbalan Pengarah Penyelidikan jabatan tersebut, Masiah Ahmad berkata laporan WSJ itu tidak ada kaitan dengan laporan interim audit ke atas 1MDB.

“Jabatan Audit Negara bukan sumber maklumat kepada laporan WSJ itu,” kata Masiah dalam jawapannya melalui emel kepada Malaysiakini.

Jumaat lepas, WSJ melaporkan bahawa dokumen-dokumen daripada penyiasat Malaysia telah mendedahkan bahawa AS$700 juta, yang didakwa berasal dari 1MDB, telah disimpan di akaun bank peribadi Najib di Malaysia.  Transaksi itu didakwa berlaku dua kali – sekali pada bulan Mac 2013, sebelum pilihan raya umum ke-13, dan sekali lagi pada awal tahun 2015.

Datuk Seri Najib Abdul Razak telah menafikan dakwaan tersebut manakala WSJ pula mempertahankan laporannya itu.  Pada bulan Mac, Jabatan Audit telah ditugaskan oleh Najib untuk mengaudit akaun 1MDB berikutan dakwaan penyelewengan berkaitan kewangan syarikat itu.  Laporan interim dijangka diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) pada hari Khamis.

Selain siasatan oleh Jabatan Audit dan PAC, sebuah pasukan petugas khas yang terdiri daripada penyiasat dari Bank Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB.  Menurut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pasukan petugas itu telah memperolehi dokumen-dokumen yang berkaitan dengan dakwaan tersebut.

Komen anda?

Komen

Leave A Reply

Your email address will not be published.