Mak mertua bangsat,Suami musibat-Luahan pilu isteri

0 7
Mak mertua bangsat,Suami musibat-Luahan pilu isteri
Gambar hiasan

“Kejadian yang baru menimpa diri saya rasanya tidak boleh ditarik balik. Namun saya tak kesal leburnya pengorbanan yang saya curahkan selama ini kepada Ifan dan saya doakan dia bahagia bersama kekasihnya.”

Itu curahan hati NurEzzaty dalam e-melnya. “Kami bercinta ketika saya mula diterima bekerja di syarikat di mana Ifan bekerja. Mulanya dia menunjuk ajar saya bekerja, akhirnya saya diajak makan-makan dan akhirnya terus bercinta.  Oleh kerana saya orang baru di pejabat itu, saya tak berani bercerita pasal hubungan kami, sebab saya terasa malu kepada rakan lebih senior, saya baru bekerja dah bercinta.

“Oleh kerana itu saya banyak tak tahu tentang perangai Ifan sebelum ini. Mungkin kalau saya bercerita dengan kawan lain, mungkin saya dapat gambaran perangai Ifan, malangnya Ifan mengingatkan saya jangan banyak bercerita tentang hubungan kami kepada teman lain, takut saya termakan fitnah. Kerana percayakan Ifan maka saya ikut cakap dia.  “Ketika hubungan kami berada di puncak, banyak teman telah tahu, tetapi mereka tidak pula bercakap tentang Ifan. Mungkin sudah terlewat. Mungkin juga mereka tidak mahu campur hal peribadi kami, genap setahun berkawan kami bertunang. Memang ramai terkejut, Lepas seminggu bertunang barulah saya dapat panggilan telefon daripada seorang wanita mengenalkan dirinya sebagai bekas tunang Ifan.
“Mulanya dia ucapkan tahniah atas pertunangan saya, lepas itu baru dia beritahu dia bekas tunang Ifan. Menariknya dia beritahu bahawa dia bukan tunang Ifan yang pertama, tetapi yang kedua. Sebelumnya Ifan pernah bertunang tetapi putus juga. Dia mengharapkan dapat jejakkan kaki ke pelamin, tetapi harapannya hancur sebab keluarga Ifan tak sukakan dia.  “Katanya mak Ifan tak datang meminang, yang datang cuma saudara mara dan kenalannya sahaja. Setelah dirisik baru dia tahu, emak Ifan mahukan menantu orang sama negeri dengannya, supaya tak susah nak balik kampung, seorang utara seorang lagi di timur, susah. Walaupun dia cuba pertahankan, tetapi gagal, dan mereka putus dengan baik atas nasihat emak wanita itu sendiri. Kata emaknya, kalau keluarga tak setuju, jodoh tak panjang, kalau kahwin juga banyak masalah timbul kemudian hari.
“Cerita wanita itu sama dengan apa yang berlaku ke atas diri saya, emak Ifan tak datang cuma adik-beradiknya saja. Tetapi setelah bertanya pada Ifan, dia menafikan, katanya wanita itu yang putuskan pertunangan sebab keluarganya tak setuju.  “Oleh kerana ketika itu hati di ambang kegembiraan, cerita dan nasihat siapa pun saya tak pakai, saya tetap percayakan kata-kata Ifan. Setelah berkahwin barulah saya tahu segalanya. Perkahwinan kami tak ada majlis bertandang, malah majlis doa selamat pun keluarganya tak buat. Kata Ifan, dia tak mahu membazir, dah buat majlis di rumah saya sudah memadai. Duit boleh digunakan untuk benda yang lebih berfaedah. Saya ikut saja.
“Reaksi emak Ifan tak sukakan saya, jelas dapat saya rasakan, tetapi saya tebalkan muka dan tetapkan iman. Walau apa pun dia cuba lakukan, saya tetap akan taat kepada Ifan dan emaknya. Dan saya berjanji akan berbuat yang terbaik untuk menawan hati emak Ifan.  “Lepas lahirkan anak pertama saya masih tidak disukai mentua. Adik-beradiknya memang baik, mahu bertegur sapa. Kadangkala sedang kami berbual bila emak Ifan melintas, semua orang terdiam senyap macam malaikat lalu.  “Saya tanya pada Ifan mengapa saya tidak disukai, adakah emaknya sudah ada calon menantu lain untuk Ifan, tapi Ifan nafikan. Katanya buatlah yang terbaik, satu hari nanti saya akan diterima juga dalam keluarganya. Jadi sekarang saya tak diterimalah?  “Pelbagai cara saya lakukan untuk memenangi hati emaknya. Kalau pasal hadiah memang selalu saya beri seperti kain batik, karpet, baju kurung, jubah, tudung, semua saya berikan. Tapi saya tak nampak dia pakai pun. Kalau hari raya kuih muih saya beri, rendang daging saya buatkan demi menarik hati emak Ifan, tapi dia buat acuh tak acuh saja.
Hilang sabar
“Setiap tahun kami beraya rumah mak mertua saya dulu, sebelum balik ke rumah emak saya. Memang adik-beradik kecil hati, tetapi emak saya tenangkan keadaan, biarlah saya di rumah mak mertua dulu yang penting saya akan balik juga.  “Masuk anak kedua keadaan yang sama juga berlaku. Apa yang buat saya hilang sabar bila saudara mara emak Ifan datang, saya dikata tidak bertegur sapa dan dibuat seperti pembantu rumah. Kalau saya tak ada anak bolehlah sabar lagi, tetapi dengan anak kecil dan mengandung lagi, saya sendirian di dapur sedangkan mereka cuma menanti makanan terhidang di meja, memang saya kecil hati. Kalau terlambat muncung emak Ifan mulalah panjang. “Walaupun mak mertua tak sukakan saya, saya boleh sabar, tapi bila Ifan buat hal, bercanda dengan wanita lain itu membuat saya hilang sabar. Kalau dulu kawan pejabat tak banyak buka mulut kepada saya tentang perangai Ifan yang “ligat” dengan perempuan, tetapi setelah mereka lihat sendiri keadaan saya, maka ada kawan kasihan dan ceritakan apa yang pernah Ifan lakukan sebelum dan selepas berkahwin dengan saya.  “Biasalah bila saya nasihatkan dan tanya Ifan tentang perangainya, dia nafikan tetapi setelah ada bukti, bukan Ifan berubah kepada kebaikan, sebaliknya dia mencabar saya. Katanya perangai saya buruk itulah antara sebab emaknya tak sukakan saya. Bila saya minta bukti mulalah buat tuduhan serkap jarang. Sapa yang tak sakit hati.  “Saya boleh sabar dengan perangai emaknya, tetapi kalau dia menambah siksaan hati saya, maka saya tak boleh sabar lagi. Perangai Ifan semakin kita tunjukkan bukti, dia semakin mencabar kesabaran saya. Kalau sebelumnya senja baru sampai rumah, sekarang dah mula mencecah jam 12 malam. Alasannya dia ada latihan senaman.
“Memang hidup saya senang tak payah masak untuk makan malam, kerana memang tak balik makan, tetapi sampai bila? Dia balik ketika anak sudah tidur, dan bangun ketika anak sudah saya hantar ke rumah pengasuh. Hujung minggu lebih aktif lagi. Pagi-pagi dah keluar joging. Nak kata bohong tak mungkin, sebab bajunya memang basah dek peluh. Tetapi dengan siapa dia berjoging?  “Satu lagi dia suka buat perangai sengaja suruh emaknya bencikan saya. Kalau sebelumnya dia sering balik kampung bila ada cuti panjang. Sekarang tidak lagi dia buat alasan saya tak mahu balik, atau saya balik ke rumah emak saya.
Pembohongan itu terbongkar bila biras saya telefon bertanya kenapa saya dah lama tak balik. Mentua selalu tanya.  “Pembohongan Ifan terbongkar juga, bila satu hari saya nampak dia berjoging dengan seorang wanita muda. Saya tak serang Ifan atau perempuan itu di taman, saya cuma lihat dari jauh cuma anak-anak saya yang terkejar-kejar bila nampak ayah mereka. Saya tahu Ifan malu. Sepantas kilat Ifan datang ke arah saya dan suruh saya balik rumah.
“Kerana hati saya pun panas ketika itu, saya katakan saya sengaja bawa anak-anak berjalan ambil angin sebab selalu terperuk di rumah. Dengan muka bengis Ifan suruh saya balik. Tetapi saya degil, saya tetap duduk di taman itu bersama anak-anak, kerana kami baru setengah jam berada di taman tersebut. Kerana kedegilan saya dia mengajak wanita tersebut balik dengan keretanya. Saya punyalah baik, saya tak serang wanita tersebut.
Pertama saya tak pasti itu kekasihnya, kedua mengapa saya mesti marah wanita tersebut, sebab Ifan lebih bersalah, sudah ada anak isteri masih buat perangai.
“Kerana sakit hati, saya tak balik tengah hari itu, sebaliknya saya ke rumah saudara jalan-jalan. Petang hari baru balik. Sampai di rumah kami bertengkar. Ifan tuduh saya mengintip. Saya nafikan, tetapi untuk mencari kebenaran apa yang saya dengar selama ini tentang hubungannya dengan wanita lain.
“Setahun lamanya saya bersabar selepas peristiwa di taman itu, tetapi hubungan kami sudah tidak mesra dan harmoni lagi. Kebencian menjadi-jadi terutama bila Ifan mula kurangkan belanja dapur dan susu anak. Semua saya kena uruskan sendiri. Dalam tempoh yang sama hubungan saya dengan mentua tambah meruncing bila Ifan tidak mahu lagi bawa saya balik kampung. Dia sengaja cari jalan supaya saya terus dibenci oleh ibunya. “Apabila hubungan keluarga tidak harmoni lagi, kebahagian sudah berkubur, maka tidak ada sebab saya berdiam diri. Setelah berfikir panjang tentang nasib dan masa depan saya bersama anak-anak, satu hari saya beritahu Ifan saya tak sekat kalau dia ingin kahwin lagi, tetapi saya tidak mahu dimadukan. Sebagai isteri saya reda dengan keputusannya.
“Sebelum buat keputusan maha berat itu, saya tanya dengan ibu bapa sendiri, saya ingin tahu pandangan mereka. Sebaliknya mereka serahkan kepada saya, kerana saya yang pikul beban, maka sayalah lebih patut buat keputusan.
“Enam bulan lamanya baru Ifan buat keputusan, ketika itu hubungan kami sudah jauh terpisah, masing-masing buat hal sendiri, walaupun tinggal di bawah satu bumbung. Dengan rasa berat hati saya terima keputusan Ifan, tetapi saya rasa lega selepas itu.
Pada saya tidak ada gunanya bergelar isteri jika hidup tidak sehaluan.” Itu cerita NurEzzaty, harapannya supaya wanita yang senasib dengannya jangan takut membuat keputusan. Setiap yang buruk memang pedih ditelan, tetapi ada ada manis akhirnya.

Komen anda?

Komen

You might also like More from author

Leave A Reply

Your email address will not be published.