Pantau maklumat di blog

0 3

Kuantan: Polis yakin dapat mengesan mereka yang terbabit membunuh Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahad lalu selepas memperoleh banyak petunjuk, termasuk maklumat daripada laman sosial.

Antaranya ialah daripada Facebook dan laman blog yang ada kaitan dengan mereka yang disyaki terbabit menembak Ahmad Rafli, di rumahnya di Indera Mahkota 2, di sini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, berkata setakat ini, polis telah mengambil keterangan beberapa pihak selain memantau maklumat yang disebarkan dalam laman sosial.

diburu polis

“Kita ambil kira semua maklumat walaupun ada antaranya nampak kecil seperti Facebook dan blog tetapi turut berperanan membantu menyelesaikan siasatan kes ini,” katanya pada sidang media dan mengedarkan lakaran wajah seorang daripada suspek, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini semalam.

Lakaran membabitkan suspek berbangsa Melayu, bertubuh sasa, berkulit sawo matang, rambut dan misai beruban serta berusia lingkungan 55 tahun.

Lakaran hampir tepat

“Ia adalah lakaran wajah suspek yang datang ke rumah mangsa dan memberi salam sebelum seorang lagi melepaskan tembakan. Lakaran ini 70 peratus tepat berdasarkan maklumat yang kita kumpul sehingga kini.
“Lakaran kita edarkan kepada ketua komuniti bagi membantu meluaskan rangkaian maklumat dan yakin dapat membantu mempercepatkan penyelesaian kes,” katanya.

Ditanya dakwaan kononnya ternampak kereta suspek di kawasan Pekan, Sharifuddin berkata, ia tidak benar dan polis masih mengumpul maklumat untuk mengesan lokasi suspek.

Beliau berkata, polis tidak mengetepikan banyak kemungkinan termasuk kes mempunyai kaitan dengan ajaran sesat Tuhan Harun yang dikendalikan mangsa.

Siasat dari pelbagai aspek

“Kita siasat semua sudut termasuk peribadi dan penguatkuasaan yang dilaksanakan mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa tidak pernah membuat laporan polis berkaitan sebarang ugutan,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 1.50 tengah hari Ahad lalu, Ahmad, 49, meninggal dunia di depan rumahnya selepas terkena dua daripada tiga das tembakan dilepaskan suspek yang datang ke rumahnya.

Sebelum kejadian sebuah kereta dinaiki tiga lelaki berhenti di hadapan rumahnya dan seorang lelaki memakai kopiah putih memberi salam kepada mangsa sebelum rakannya di tempat duduk belakang meluru serta melepaskan tembakan ke arah mangsa.

Sumber

Komen anda?

Komen

Leave A Reply

Your email address will not be published.