Pekerja bangladesh diberikan kerja kerana rakyat Malaysia enggan kerja kotor dan berat

0 3

Pekerja bangladesh diberikan kerja kerana rakyat Malaysia enggan kerja kotor dan berat

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu Putrajaya dipersalahkan dalam isu 1.5 juta warga Bangladesh kerana kehadiran mereka penting dalam mengisi sektor yang kekurangan pekerja.  Zahid menafikan kerajaan mahu menyekat rakyat Malaysia daripada bekerja, tapi sebaliknya rakyat sendiri yang enggan bekerja dalam sektor merbahaya, kotor dan sukar.

“Kita bukan mahu menyekat peluang rakyat Malaysia. “Tapi dalam sektor tertentu rakyat Malaysia sendiri yang tidak mahu bekerja,” kata Zahid yang juga menteri dalam negeri kepada pemberita semasa pelancaran Mini MAD Velocifero di Shah Alam, Selangor hari ini.  Zahid berkata tidak ramai di kalangan rakyat Malaysia mahu bekerja dalam sektor perladangan dan pembinaan yang sememangnya mencabar.  “Berapa ramai yang mahu bekerja dalam sektor perladangan, berapa ramai yang mahu berpanas dan berhujan dalam sektor pembinaan.

“Berapa ramai yang mahu bekerja dalam sektor 3D, dirty, dangerous and difficult? Tidak ada,” katanya.

Zahid juga meminta supaya orang ramai tidak melihat daripada sudut negatif sebaliknya melihat dari segi permintaan pemain-pemain industri dan sumbangannya kepada ekonomi negara.  “Jangan dilihat dari segi aspek negatif sahaja.

“Tapi lihat dari segi permintaan majikan dan juga aspek pembangunan ekonomi,” katanya.  Beliau juga berkata tidak wajar kerajaan dipersalahkan dalam isu 1.5 juta pekerja Bangladesh kerana mereka sekadar memenuhi permintaan daripada pemain industri.

“Jangan salahkan saya, jangan salahkan kerajaan, jangan salahkan KDN (Kementerian Dalam Negeri), Kementerian Sumber Manusia.

“Tapi lihat bagaimana permintaan itu datang sedangkan yang meminta adalah pasaran atau syarikat berkenaan,” katanya.

Zahid sebelum ini dilaporkan mempertahankan langkah untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh kerana terdapat permintaan selepas pertama kali mengumumkan perkara itu pada Jun tahun lepas.  Bagaimanapun, pengumuman itu menerima reaksi negatif daripada ramai pihak.  Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) menggesa Putrajaya membersihkan kebanjiran pendatang asing sedia ada dalam negara sebelum membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, lebih baik kerajaan membekalkan latihan secukupnya dan gaji setimpal kepada pekerja separa mahir tempatan untuk diserapkan ke dalam sektor yang ketika ini kurang diminati warga Malaysia.

MTUC dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) juga mendakwa, pembekal industri buruh asing bernilai bilion ringgit boleh mempengaruhi kononnya “permintaan” terhadap 1.5 juta pekerja baharu yang dirancang dibawa masuk dari Bangladesh itu.

Komen anda?

Komen

Leave A Reply

Your email address will not be published.