Penghapusan subsidi bahan api defisit Malaysia di jangka turun

0 5

Dengan penghapusan subsidi bahan api, defisit Malaysia dijangka turun di bawah 3% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2015, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Ketua Misinya bagi Malaysia, Alex Mourmouras berkata keseluruhan strategi fiskal dijangka dapat meningkatkan kesaksamaan dengan pindahan tunai yang diperuntukkan secara ketat disasarkan kepada kumpulan berpendapatan rendah.

subsidi bahan api

“Kami mengalu-alukan langkah ke arah belanjawan berasaskan prestasi, dan rancangan untuk memperkenalkan perakaunan tertunggak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mourmouras mengetuai pasukan IMF ke Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 13-24 November, 2014, untuk mengadakan perbincangan bagi Perundingan Artikel IV 2014 dengan Malaysia.
Di bawah Artikel IV daripada Artikel Perjanjian IMF, IMF mengadakan perbincangan dua hala dengan ahli-ahlinya, biasanya setiap tahun.
Beliau berkata lebihan akaun semasa diunjur meningkat kepada kira-kira 5.0% daripada KDNK pada 2014, dengan pertumbuhan import perlahan dan disokong oleh pemulihan sederhana permintaan luar.

“Kami memuji pihak berkuasa kerana mengambil langkah penting mengukuhkan daya tahan ekonomi Malaysia, di samping mengekalkan kestabilan ekonomi makro,” katanya.
Beliau berkata langkah-langkah seperti penghapusan subsidi bahan api dan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah langkah tegas yang seharusnya membantu memastikan kemapanan kewangan kerajaan.
Mourmouras berkata langkah-langkah itu juga membolehkan lebih banyak peruntukan bagi menggalakkan pertumbuhan jangka sederhana yang mapan dan saksama.
Beliau juga berkata dasar proaktif Bank Negara Malaysia termasuk langkah kawalan berian pinjaman bank dan meningkatkan kadar dasarnya pada Julai membantu mengekang tekanan inflasi dan menangani ketidakseimbangan kewangan.
Prospek pertumbuhan jangka terdekat Malaysia juga kekal kukuh, dengan pertumbuhan KDNK sebenar pada 2014 diunjur hampir kepada 6.0%, manakala permintaan domestik swasta dijangka kekal kukuh.

“Peningkatan sederhana inflasi dijangkakan pada 2015 susulan pelaksanaan GST tetapi tekanan inflasi asas lemah akan mengurangkan impak,” katanya.
Menurutnya, pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia ketika ini, pelaburan tinggi dan peningkatan kad skor persekitaran perniagaan adalah suatu yang mengagumkan.
Bagaimanapun, beliau berkata potensi pertumbuhan rendah dalam ekonomi maju menjadikan usaha untuk mengekalkan prestasi pertumbuhan lebih mencabar. – Bernama

Komen anda?

Komen

Leave A Reply

Your email address will not be published.