Timbulkan “kontroversi” di dalam negara Tun Dr Mahathir Mohamad dipersalahkan

0 5

 

 

Timbulkan kontroversi di dalam negara Tun Dr Mahathir Mohamad dipersalahkan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menuding jari terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menimbulkan ‘kekecohan’ di dalam negara.  Najib berkata ‘keadaan kucar kacir’ yang ditimbulkan Dr Mahathir itu diburukkan lagi dengan pembohongan dan fitnah pembangkang.  “Ia memberi kesan besar kepada persepsi orang ramai, kerana beliau bukan hanya sekadar rakyat biasa,” kata Najib dalam jawapannya kepada soalan lazim (FAQ) di laman blog NajibRazak.com.

Dakwaan ini, kata Najib, diperluaskan melalui Internet, sesuatu yang tidak pernah dilalui ahli politik veteran itu sewaktu beliau menjadi perdana menteri.  “Apa-apa kontroversi yang timbul terhadap tindakan kerajaan akan mengambil masa sehari, jika tidak seminggu untuk disebarkan.  “Tun tidak perlu berdepan tuduhan yang tidak berkesudahan yang dikitar semula dan dikongsi dalam sekelip mata. Perkataan ‘viral’ juga tidak wujud semasa pentadbiran beliau,” katanya.

Beliau berkata, media dalam talian dengan ‘agenda tersembunyi’ akan memutarbelitkan tajuk utama yang dapat dikongsi dan disebarkan dalam tempoh sekejap.  Ia menimbulkan persepsi bahawa dakwaan tersebut seolah-olah benar.  “Dengan serangan dalam talian, ia tidak menghairankan bahawa Tun percaya terdapat ‘kekecohan’ yang lebih besar pada hari ini,” katanya.  Walaupun berdepan pelbagai kritikan, Najib berkata beliau berjaya membawa perubahan di dalam negara seperti yang ditunjukkan dalam rekod kerajaan sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan enam tahun lalu.

Najib kemudiannya menegaskan walaupun beliau meletak jawatan ia tidak akan menghalang Dr Mahathir daripada campur tangan dalam urusan pentadbiran negara.  “Beliau boleh katakan hanya menjalankan hak demokrasi sebagai seorang rakyat Malaysia, tetapi ini adalah Tun Mahathir. Orang cenderung untuk percaya apa yang diperkatakannya, walaupun ia tidak tepat sepenuhnya,” kata Najib.

Komen anda?

Komen

Leave A Reply

Your email address will not be published.