Shah Jaszle kena bicara, Nurizzati didenda RM3,000

0

shahjaszlePetaling Jaya: Wanita pasangan khalwat pelakon Shah Jaszle mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, semalam.

Bagaimanapun, Shah Jaszle atau nama sebenarnya, Shahrizal Jaszle Jasmi, 25, yang popular menerusi drama Asmara, tidak mengaku salah selepas tuduhan dibacakan di depan Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah.

Sementara itu, Farah Nurizzati Salleh, 21, mengaku bersalah berkhalwat dengan Shah Jaszle di dalam bilik dua, unit kediaman KC-01-16 Blok C, Kayangan Apartment, Jalan PJS 10/24, Taman Sri Subang, pada jam 3.50 pagi, 16 Mei lalu.

Bayar denda

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan. Farah Nurizzati membayar denda berkenaan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Peguam syarie Shah Jaszle, Asyraf A Ranee memberitahu mahkamah supaya membebaskan anak guamnya dengan jaminan RM1,500 dan pihaknya memohon satu tarikh untuk menghantar notis representasi kepada pihak pendakwa.
Pegawai Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli memberitahu mahkamah, dokumen itu perlu diserahkan kepada Ketua Pendakwa Syarie.

Mahkamah membenarkan Shah Jaszle dilepaskan dengan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding semalam, mengikut fakta kes yang diakui benar Farah Nurizzati, dia dan Shah Jaszle ditahan Pegawai Penguat kuasa Agama (PPA) JAIS.

Bilik tertutup

Shafezan berkata, pemeriksaan pada bilik dua daripada tiga bilik pangsapuri itu mendapati ia tertutup dan selepas lima minit pintu bilik dibuka, Farah Nurizzati didapati hanya berbaju singlet tanpa lengan dan berseluar pendek warna ungu paras paha.

Katanya, ketika diperiksa, keadaan bilik didapati gelap, dan selepas lampu dibuka, PPA menemui Shah Jaszle yang sedang berbaring di atas katil sambil berselimut dengan hanya berseluar pendek kelabu tanpa baju.

Hasil siasatan mendapati Farah Nurizzati dan Shah Jaszle tiada hubungan suami isteri atau mahram yang sah.

Sumber

Komen anda?

Komen

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More