Kalendar Islam 2026:Semua Tarikh Penting yang Perlu Anda Tahu
Kalendar Islam 2026.Mengetahui tarikh-tarikh penting dalam Kalendar Islam adalah penting bagi umat Islam untuk membuat persiapan awal bagi menyambut perayaan dan melaksanakan ibadah dengan sempurna. Antaranya termasuklah tarikh permulaan Ramadhan, bulan suci di mana umat Islam berpuasa, serta tarikh Hari Raya Aidilfitri yang menandakan berakhirnya bulan Ramadhan. Selain itu, Aidiladha, yang jatuh pada bulan Zulhijjah, adalah perayaan besar yang berkaitan dengan ibadah Haji.
Bulan-bulan Islam seperti Muharram, Rabiulawal, Rejab, dan Syaaban juga mempunyai kepentingan tersendiri dengan amalan dan peristiwa bersejarah yang signifikan. Sebagai umat Islam, memahami dan merujuk kepada Kalendar Islam membolehkan kita lebih bersedia dan menghargai setiap momen penting apabila menjadi seorang muslim.Berikut panduan lengkap tentang semua tarikh penting dalam Kalendar Islam 2026, semoga dapat membantu anda dalam merancang ibadah dan perayaan dengan lebih baik.
Takwim Kalendar Islam 2026/ 1447-1448H
Berikut dilampirkan takwin kalendar islam yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Berikut adalah jadual yang memaparkan tarikh penting dalam Kalendar Islam takwim 2026:
| Tarikh Hijri | Tarikh Miladi | Hari Perayaan / Hari Kebesaran Islam |
|---|---|---|
| 27 Rejab 1447H | 17 Januari 2026 | Israk dan Mikraj |
| 1 Ramadan 1447H* | 19 Februari 2026 | Awal Ramadan / Berpuasa |
| 17 Ramadan 1447H | 7 Mac 2026 | Nuzul Al-Quran |
| 1 Syawal 1447H* | 21 Mac 2026 | Hari Raya Aidilfitri |
| 1 Zulhijjah 1447H | 18 Mei 2026 | Awal Zulhijjah |
| 10 Zulhijjah 1447H* | 27 Mei 2026 | Hari Raya Aidiladha |
| 1 Muharram 1448H | 17 Jun 2026 | Awal Muharram / Maal Hijrah |
| 12 Rabiulawal 1448H | 25 Ogos 2026 | Maulidur Rasul |
Baca juga: Kalendar 2026 : Senarai Cuti Umum Dan Cuti Sekolah Malaysia KPM
Maklumat setiap peristiwa & hari kebesaran di dalam kalendar bulan islam
Berikut adalah penjelasan bagi setiap peristiwa penting dalam Kalendar Islam yang berlaku pada tahun 2026:
1. Israk dan Mikraj (17 Jan 2026)
Israk dan Mikraj memeringati perjalanan luar biasa Nabi Muhammad SAW – perjalanan malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa (Israk), kemudian naik ke Sidratul Muntaha (Mikraj). Pada malam bersejarah itulah solat fardu lima waktu diwajibkan ke atas seluruh umat Islam. Peristiwa ini adalah salah satu mukjizat terbesar Rasulullah SAW dan menjadi dalil keimanan yang kukuh.
2. Awal Ramadan (19 Feb 2026)
Ramadan adalah bulan yang paling mulia dalam Islam — bulan diturunkannya Al-Quran dan bulan penuh keberkatan. Umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan penuh, menahan diri daripada makan, minum, dan perkara yang membatalkan puasa dari subuh hingga maghrib. Ramadan 2026 bermula pada 19 Februari dan menjadi peluang terbaik untuk meningkatkan amalan soleh.
3. Nuzul Al-Quran (7 Mac 2026)
Nuzul Al-Quran disambut pada 17 Ramadan, memperingati tarikh turunnya wahyu pertama Surah Al-Alaq kepada Nabi Muhammad SAW di Gua Hira. Peristiwa ini menandakan bermulanya penurunan Al-Quran yang menjadi panduan agung bagi seluruh umat manusia hingga hari kiamat.
4. Hari Raya Aidilfitri (21 Mac 2026)
Aidilfitri disambut pada 1 Syawal, menandakan tamatnya ibadah puasa Ramadan. Ia merupakan hari kegembiraan dan kesyukuran di mana umat Islam digalakkan mengeratkan silaturahim, memohon maaf, serta melaksanakan solat sunat Aidilfitri. Suasana perayaan yang penuh kemaafan dan kasih sayang menjadi teras sambutan ini.
5. Awal Zulhijjah & Hari Raya Aidiladha (18–27 Mei 2026)
Zulhijjah adalah bulan yang amat mulia kerana mengandungi amalan-amalan besar dalam Islam. Berdasarkan hadis Ibn Abbas, 10 hari terawal Zulhijjah adalah antara hari yang paling disukai Allah untuk beramal soleh — melebihi jihad di jalan Allah, kecuali orang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya. Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah pula menjadi hari korban, mengenang pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS.
6. Maal Hijrah / Awal Muharram (17 Jun 2026)
Maal Hijrah disambut sebagai memperingati peristiwa bersejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Makkah ke Madinah. Peristiwa hijrah ini membawa hikmah yang amat besar — dipersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar, serta berkembangnya dakwah Islam ke seluruh dunia. Ia menjadi titik tolak penting dalam pengiraan tahun Hijrah.
7. Maulidur Rasul (25 Ogos 2026)
Maulidur Rasul diraikan pada 12 Rabiulawal setiap tahun untuk memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sambutan ini menjadi usaha mendidik umat Islam tentang sirah, akhlak mulia, dan sunnah Baginda. Pelbagai program ceramah, selawat, dan jelajah ilmu diadakan di seluruh Malaysia sempena hari bersejarah ini.
Maklumat Lanjut
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh hubungi melalui saluran berikut:
- JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
Blok A dan B, Kompleks Islam Putrajaya,
No 23, Jalan Tunku Abdul Rahman, Presint 3,
62100 Putrajaya. - falak@islam.gov.my
- +03 8870 7000
- +03 8870 7003